Manusia paling berani?
Memanjat dengan tangan kosong dan berdiri di puncak Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter memang satu perbuatan gila. Namun, itulah ‘dendam’ Spiderman Perancis, Alain Robert sejak 12 tahun lalu.

LELAKI kurus dan berambut lurus ini sudah lama mengidam untuk berdiri di puncak Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter itu.
Percubaan pertama Spiderman Perancis itu ialah pada tahun 1997.
Bagaimanapun, dia gagal selepas ditahan pegawai keselamatan bangunan 88 tingkat itu di tingkat 60. Pada tahun 2007, dia mencuba lagi. Kali ini masih gagal. Dia ditahan, juga di tingkat 60.
Bagaimanapun, pada subuh Selasa lalu, Alain Robert, 47, dapat juga menyempurnakan dendamnya selama 12 tahun. Dia hanya mengambil masa selama 90 minit bermula pukul 6 pagi untuk memanjat bangunan keluli dan berkaca itu.

Sebagai meraikan kejayaannya, Robert berdiri sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara di atas bebola kecil di hujung tiang di puncak Menara 2.
"Saya hanya menggunakan tangan untuk memanjat bulatan tiang menara itu sebelum sampai di puncak.
"Itulah kemahiran saya yang mungkin tidak ada pada orang lain," katanya yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya oleh kerajaan tempatan Perancis.
![]() |
BIARPUN ditahan, dihumban ke lokap dan didenda RM2,000, Robert masih dapat tersenyum puas setelah impiannya tertunai. |




